Bayern capai kesepakatan lisan dengan Barcelona jual Lewandowski

BAYERN Munich sudah mencapai kesepakatan secara lisan dengan Barcelona untuk menjual penyerang sensasi mereka, Robert Lewandowski.
Pemain berusia 33 tahun itu menjaringkan 50 gol musim lalu — jumlah terbanyak dalam lima liga utama Eropah — tetapi memilih untuk meninggalkan Arena Allianz.
Kesepakatan di antara dua pasukan gergasi Eropah itu dilaporkan melibatkan yuran perpindahan bernilai €50 juta (RM224.49 juta).
Dan Bayern memberikan perkembangan terkini dalam laman Twitter rasmi mereka semalam dengan satu petikan kata daripada presidennya, Herbert Hainer.
“Kami sudah mencapai kesepakatan lisan dengan Barcelona. Amat baik untuk mendapatkan penjelasan daripada kesemua pihak.
“Robert merupakan pemain yang luar biasa dan dia telah memenangi segala-galanya bersama kami. Kami benar-benar bersyukur dapat memilikinya,” katanya.
Terdahulu, Lewandowski dilihat mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukannya di pusat latihan Bayern semalam.

AFF 2022: Kerjasama, disiplin faktor kejayaan skuad B-19 kebangsaan

KUALA LUMPUR: Kerjasama dan disiplin merupakan dua elemen penting yang dimainkan dengan baik dalam perancangan untuk memastikan Malaysia menjuarai Kejohanan Bawah 19 Tahun (B-19) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Indonesia.
Ketua Jurulatih skuad B-19 kebangsaan Hassan Sazali Mohd Waras berkata dua elemen tersebut membawa kepada kejayaan pasukan muda negara yang menjinakkan Laos 2-0 pada final di Stadium Patriot Candrabhaga di Bekasi, semalam.

Beliau yang pernah menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee pada 2016 hingga 2017 berkata kejayaan itu bukan untuk dirinya tetapi barisan pemain dan seluruh rakyat Malaysia.

“Tahniah kepada barisan pemain saya, barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan, apa yang kita berikan ini adalah (hasil) kerjasama antara pemain, jurulatih dan pengurusan.
“Senjata kita pada malam ini (malam tadi) saya boleh katakan adalah disiplin pemain, semasa dalam permainan mereka ikut apa yang dirancang,” katanya pada sidang media selepas perlawanan akhir Kejohanan B-19 AFF, semalam.
Pada perlawanan akhir itu, dua gol masing-masing dijaringkan pemain pertahanan, Muhammad Faiz Amer Runnizar pada minit ke-14 dan pemain tengah, Muhammad Aliff Izwan Yuslan pada minit ke-76, memastikan Malaysia meraih gelaran kedua dalam tempoh empat tahun selepas buat julung kali muncul juara pada 2018.
Pada edisi 2018 yang turut berlangsung di Indonesia, skuad B-19 kebangsaan ketika itu dibimbing pengendali Kuala Lumpur City FC Bojan Hodak.
Dalam pada itu, Hassan Sazali berkata Kejohanan B-19 AFF adalah pertandingan ‘pemanas badan’ untuk mempersiapkan anak buahnya bagi menghadapi cabaran lebih getir pada pusingan Kelayakan Piala Asia Bawah 20 Tahun (B-20) 2023 yang dijadual berlangsung di Mongolia, September ini.
“Jadi mungkin dengan kejayaan ini boleh dijadikan sebagai satu moral dan persiapan lebih rapi bagi pasukan Malaysia untuk melangkah lebih jauh dalam peringkat Asia,” katanya.
Pada pusingan kelayakan itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama juara terbanyak sebanyak 12 kali iaitu Korea Selatan, selain Sri Lanka dan pasukan tuan rumah untuk merebut slot 10 juara kumpulan dan lima naib juara terbaik ke pusingan akhir yang dijadual pada Mac tahun hadapan.

Arsenal sasar pemain kedua Man City

LONDON: Arsenal dalam perbincangan dengan Manchester City untuk mendapatkan pertahanan juara Liga Perdana Inggeris itu Oleksandr Zinchenko.

Pemain Ukraine berkenaan turut menarik minat Everton, West Ham dan Chelsea musim panas ini dan City bersedia melepaskan pemain 25 tahun itu pada harga 35 juta pound (RM184.2 juta).

City dalam usaha mendapatkan pemain Brighton Marc Cucurella dan mahu mengesahkan pembelian bek tengah sebelum menyempurnakan perpindahan Nathan Ake ke Chelsea.

Arsenal, yang terlepas pemain Ajax Lisandro Martinez, turut memburu Sergio Gomez dari Anderlecht manakala Nuno Tavares mungkin akan berpindah ke Marseille.

Arsenal yakin mereka mampu mendapatkan Zinchenko, pemain yang pernah bersama Mikel Arteta ketika pengendali itu menjadi pembantu Pep Guardiola di Etihad.

Zinchenko bakal menjadi pemain kedua dari City berpindah ke Emirates pada musim panas ini selepas Arsenal menandatangani Gabriel Jesus.

Zinchenko menyertai City pada tahun 2016 dari kelab Russia Ufa. Dia dipinjamkan ke kelab Belanda PSV Eindhoven sebelum diserap ke dalam skuad utama City.

Dia membuat 127 penampilan dalam semua pertandingan untuk City dan membantu kelab itu menjuarai empat gelaran Liga Perdana Inggeris. 

Fenerbahce lepaskan khidmat Ozil atas persetujuan bersama

FENERBAHCE mengesahkan Mesut Ozil telah meninggalkan kelab itu selepas kontraknya ditamatkan atas persetujuan bersama.
Bekas pemain tengah Jerman itu menyertai gergasi Istanbul itu dengan perjanjian tiga setengah tahun pada Januari 2021 selepas dibebaskan oleh Arsenal.
Perpindahan Ozil tidak berjalan seperti yang diharapkan, perancang itu sekali lagi diketepikan susulan tidak tersenarai dalam skuad utama pada bulan Mac.

Pemain berusia 33 tahun itu berselisih dengan ketua jurulatih sementara, Ismail Kartal dan Jorge Jesus menjelaskan dia bukan sebahagian daripada rancangannya berikutan pelantikannya sebagai bos bulan lalu.

Ozil dilaporkan telah mengadakan perbincangan dengan Istanbul Basaksehir dan Fenerbahce mengumumkan penghijrahannya pada hari Rabu.
Kelab itu menulis tweet: “Telah dipersetujui bahawa kontrak antara kelab kami dan Mesut Ozil akan ditamatkan atas persetujuan bersama.
“Kami mendoakan kejayaan Mesut Ozil sepanjang kariernya.”
Bekas pemain Real Madrid itu telah menyatakan pada akhir Mei bahawa dia tidak berhasrat meninggalkan Fenerbahce.
Dia menulis di Instagram: “Saya ulangi dengan penekanan; Saya tidak akan menamatkan karier saya dalam pasukan selain Fenerbahce.
“Keputusan ini sangat jelas dan muktamad. Mengikut keperluan kehidupan profesional, jika pengurusan kami mengambil keputusan tentang saya, saya hanya akan menghormati sikap ini. Saya akan bekerja keras dan sentiasa memastikan diri saya bersedia.”

Pogba dedah bergelut di United faktor kembali ke Juventus

PAUL POGBA mendedahkan dia telah ‘banyak berfikir’ tentang kembali ke Juventus selepas mengesahkan kemunculan semula dalam saingan Serie A, sambil menjelaskan pergelutan di Manchester United sebagai salah satu faktor.
Setelah meninggalkan United berikutan kontraknya berakhir pada Jun, Pogba mengesahkan kembali ke Juventus pada hari Isnin, enam tahun selepas meninggalkan gergasi Turin itu untuk menuju ke Old Trafford dengan yuran perpindahan bernilai 89 juta pound.
Pemenang Piala Dunia 2018 itu memenangi empat kejuaraan Serie A berturut-turut dalam tempoh pertamanya bersama Bianconeri, menjaringkan 34 gol dalam 178 penampilan untuk kelab itu.
Walaupun menjulang Piala EFL dan trofi Liga Europa pada musim 2016-17, Pogba sebahagian besarnya bergelut untuk memenuhi tanda harga tingginya bersama United.
Kehadirannya tidak dapat menghalang Red Devils daripada gagal memenangi sebarang trofi dalam tempoh lima tahun selepas kempen pertamanya di England.
Walaupun Pogba mengakui kepulangan Serie A sudah lama difikirkannya, bintang Perancis itu menegaskan dia tidak menyesali perpindahannya ke Liga Perdana Inggeris (English Premier League) dan berasakan dia telah berkembang sebagai pemain di United.
“Saya gembira untuk pulang, inilah yang saya rasa di sini,” kata Pogba.
“Anda semua telah melihat sambutan orang ramai, tetapi ini adalah sesuatu yang lebih daripada mimpi. Saya sangat-sangat gembira.
“Mesej daripada penyokong Juventus sentiasa menggembirakan saya, walaupun saya fokus untuk bermain dengan baik di United.
“Musim lalu, hanya tinggal satu tahun lagi [kontrak saya], saya banyak berfikir tentang kepulangan saya, dan inilah saya. Sekarang saya gembira.
“Saya percaya pada takdir, saya gembira dengan pilihan yang telah saya buat dalam hidup saya. Kehidupan seperti ini, kadang-kadang anda membuat pilihan yang tidak mengikut kehendak anda, tetapi saya gembira dengan tahun-tahun di Manchester.
“Saya membesar, saya belajar, saya menjadi seorang dewasa. Saya tidak salah. Tuhan menghendaki ini, dan saya sangat gembira berada di sini di Juventus hari ini.
“Hati saya memberitahu saya bahawa Juve adalah destinasi saya. Saya rasa di dalam hati inilah tempat saya mahu kembali, dan saya membuat keputusan.”
Pogba bermain di bawah Jose Mourinho, Ole Gunnar Solskjaer dan Ralf Rangnick semasa bermasalah di Manchester, dan pemain tengah itu percaya ketiadaan kesinambungan di United menghalangnya.
“Menukar jurulatih setiap tahun adalah sukar – ini adalah aspek yang sukar bagi saya,” tambahnya. “Kemudian terdapat beberapa kecederaan, tetapi saya fikir ia juga adalah perkara mental; bermain dan tidak bermain membuatkan anda kehilangan rentak.
“Ada sedikit segalanya; jurulatih, pasukan, kedudukan -. semua ini telah menghalang saya sedikit. “Sekarang, bagaimanapun, saya telah pergi, dan anda akan melihat Paul yang lain. Saya boleh melakukan lebih baik daripada yang saya lakukan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.”

Natasha-Li Jane genggam gangsa di Alabama

NATASHA Mohamed Roslan-Sin Li Jane memastikan kem boling negara tidak pulang tangan kosong apabila meraih pingat gangsa acara beregu wanita Kejohanan Dunia 2022 di Alabama, Amerika Syarikat, awal pagi ini.

Menurut laman web Kejohanan Dunia, Natasha-Li Jane mengatasi cabaran sengit pasangan Colombia Juliana Franco-Clara Guerrero dengan kemenangan 235-204, 247-237 di Kompleks Konvensyen Birmingham Jefferson.

Dengan kemenangan itu, kedua-dua pemain terutama Li Jane berjaya melunaskan dendam terhadap Guerrero selepas tewas pada pusingan 16 terakhir perlawanan perseorangan wanita sebelum ini.

Natasha-Li Jane terlepas peluang merebut pingat emas selepas tewas kepada Denmark Mika Guldbaek-Mai Ginger Jensen 213-248, 215-225 pada pertembungan separuh akhir pada Isnin.

Guldbaek-Ginger Jensen merangkul emas dengan menundukkan pasangan tuan rumah Julia Bond-Shannon O’keefe 199-184, 182-226, 226-177.

Natasha-Li Jane memulakan kempen mereka dengan menyingkirkan Taishaye Naranjo-Pamela Perez dari Puerto Rico 234-164, 203-178 pada pusingan 16 terakhir dan mengenepikan Denise Blankenzee-Samantha Greiner dari Belanda 259-144, 194-188 pada suku akhir.

Cabaran Malaysia dalam perseorangan lelaki terhenti di suku akhir apabila Muhammad Rafiq Ismail dan Timmy Tan masing-masing disingkirkan wakil Kanada manakala gandingan mereka dalam saingan beregu lelaki terkandas di pusingan 16 terakhir, tewas kepada tuan rumah.

Penampilan terbaik kem tenpin boling negara di Kejohanan Dunia adalah pada edisi Lahti 1997 di Finland, dengan Sharon Low-Daniel Lim merangkul emas acara beregu campuran manakala kali terakhir Malaysia memenangi pingat di Kaohsiung 2009 di Taiwan dengan dua gangsa.

Sterling setuju ke Chelsea dengan harga RM266 juta

LONDON: Perpindahan Raheem Sterling dari Manchester City menjadi kenyataan lewat malam tadi apabila Chelsea bersetuju membayar £50 juta (RM266.39 juta) buat pemain antarabangsa England itu.

Pemain berusia 27 tahun mula memberitahu City awal bulan lalu dia mahu mencari cabaran baharu di mana-mana di sebalik minat ditunjukkan banyak kelab di Eropah.

Chelsea menyatakan dengan jelas mereka mahukan penyerang City itu bagi memainkan peranan penting dalam perubahan di bahagian serangan dan selepas berbincang dengan Thomas Tuchel, Sterling memilih untuk ke Stamford Bridge.

Bersama peguamnya, Sterling difahamkan berbincang untuk kontrak lima tahun dikatakan bernilai lebih daripada £300,000 seminggu (RM1.59 juta) diterimanya di City.

Ada juga pilihan untuk sambungan setahun yang membawanya menjadi antara tiga penerima gaji paling tinggi dalam Liga Perdana.

Pengerusi baharu Chelsea, Todd Boehly mengetuai perbincangan dengan City mengenai yuran perpindahan dan bersetuju dengan jumlah £50 juta (RM266.39 juta) minggu lalu.

Ujian perubatan dijangka akan dibuat di ibu kota dengan majoriti skuad Tuchel berada di Amerika Syarikat untuk mengikuti aksi pramusim.

Sterling menyertai City dari Liverpool dan melalui tujuh musim yang berjaya di Stadium Etihad.

Pep Guardiola tidak mahu menghalang pemain itu keluar pada penamat kempen ketika dia tidak banyak dipilih untuk aksi besar.

Sterling mengikut langkah Gabriel Jesus selepas pemain Brazil itu berhijrah ke Arsenal ketika Chelsea juga percaya mereka boleh mendapatkan tandatangan pertahanan, Nathan Ake. 

Tugas Salah cari Salah 2.0 buat Liverpool

PENYERANG berbisa Liverpool, Mohamed Salah digesa membantu The Reds membentuk lebih ramai pemain yang mampu mengisi posisinya setelah dia meninggalkan Anfield.
Bekas penyerang Liverpool, Stan Collymore berkata, Salah perlu mengambil tanggungjawab itu sebagai pemain senior selepas melanjutkan kontraknya selama tiga tahun baru-baru ini.
Malah, Collymore memberitahu, Salah harus menjadi mentor kepada muka baharu, Fabio Carvalho yang dianggap aset masa depan Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Salah memiliki keupayaan kerana dia ada masa yang agak panjang bersama Liverpool. Jadi dia perlu memainkan peranan lebih aktif dalam kelab itu mulai sekarang.
“Ini bermakna Salah perlu membantu pemain muda meningkat dan berkembang, secara tidak langsung juga boleh membantu melahirkan penggantinya pada masa depan.
“Liverpool mempunyai peluang besar mengembangkan pembelian baharu mereka sebagai pengganti Salah tetapi agak sukar menggantikan penyerang hebat seperti Salah,” katanya.
Pada Mei lalu, Liverpool berjaya melengkapkan perpindahan Carvalho selepas gagal dalam usaha membawa penyerang Fulham berusia 19 tahun itu ke Anfield awal tahun ini.
Carvalho memainkan peranan penting ‘menaikkan’ Fulham kembali ke pentas EPL apabila menjaringkan 10 gol dalam 36 perlawanan ketika skuad kendalian Marco Silva memenangi Liga Kejuaraan musim lalu.

Ten Hag berang gagal miliki De Jong

PENGENDALI Manchester United, Erik ten Hag dilaporkan berang apabila gergasi La Liga, Barcelona dikatakan menghalang urusan bintang Belanda, Frenkie de Jong ke Old Trafforf musim panas nanti.
Menurut Ten Hag, sebelum ini Presiden skuad Blaugrana itu, Joan Laporta telah menyatakan persetujuan untuk melepaskan De Jong.
“Sebelum ini, mereka (Barcelona) sudah pun bersetuju dengan tawaran kami dan dia (De Jong) dilihat semakin hampir beraksi di Old Trafford musim panas nantI.

“Tetapi tiba-tiba Laporta menyatakan bahawa mereka sebenarnya tidak berhasrat melepaskan De Jong.

“Malah, De Jong dikatakan sebagai antara pemain yang berada dalam perancangan pengendali, Xavi musim panas nanti,” katanya.
Untuk rekod, Barcelonan dikatakan sudah bersetuju dengan yuran perpindahan berjumlah RM370 juta (£70m) untuk beraksi bersama skuad The Red Devils itu.
Sementara itu, dalam satu kenyataan balas, Laporta menegaskan bahawa De Jong tidak akan dilepaskan ke mana-mana kelab kerana dia merupakan ‘aset’ besar di Nou Camp.
Malah katanya, jika tindakan melepaskan De Jong dibuat, ia sebenarnya menggambarkan bahawa Barcelona ketika itu tidak mempunyai pilihan lain.
“Saya tahu, banyak kelab yang mahu mendapatkan De Jong, namun dia adalah milik kami dan dia sendiri sebenarnya tidak mahu meninggalkan Nou Camp.
“Justeru, saya akan melakukan segala yang terdaya bagi memastikan dia terus bersama kami,” katanya.

Inter umum kepulangan Lukaku

MILAN: Inter Milan mengesahkan perpindahan Romelu Lukaku dari Chelsea secara pinjaman untuk tempoh semusim pada harga 6.9 juta pound (RM36.5 juta).

Perpindahan itu disempurnakan akhir bulan lalu tetapi Inter mengambil masa untuk mengumumkannya kepada penyokong.

Selepas meninggalkan Inter pada musim panas tahun lalu untuk kembali menyarung jersi Chelsea, Lukaku mengharungi musim kurang memberangsangkan di Stamford Bridge – di mana hubungannya dengan pengendali Thomas Tuchel juga tidak begitu baik.

Pemain Belgium berusia 29 tahun itu hanya meledak lapan gol Liga Perdana Inggeris musim lalu.

Kali pertama Lukaku menyarung jersi Inter ialah pada musim panas 2019 dan dia membantu skuad kendalian Antonio Conte memenangi Scudetto pada musim 2020-21 dengan meledak 24 gol Serie A.

Masalah kecergasan dan kenyataannya kepada media pada Disember, di mana dia menyatakan tidak gembira di Chelsea, menjadi titik tolak kejatuhannya di Stamford Bridge.

Kontrak Lukaku masih berbaki empat tahun bersama Chelsea tetapi dia menyatakan hasratnya untuk pulang ke San Siro.

“Saya rasa apa yang berlaku pada musim panas lalu tidak sepatutnya terjadi… bagaimana saya meninggalkan Inter, cara saya meninggalkan kelab, bagaimana saya berkomunikasi dengan peminat Inter – ia mengganggu saya kerana ia bukan masa yang tepat.

“Saya tahu saya akan kembali ke Inter. Saya jatuh cinta dengan Itali, saya harap kita menang lebih banyak bersama,” kata Lukaku.